Jual tanah di P. Pinang untuk FDI, bukan seperti 1MDB – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, 20 ekar tanah dekat kawasan perindustrian Batu Kawan yang dijual kepada Jabil Circuit dari Amerika Syarikat adalah untuk tujuan pelaburan.

Penjelasan itu sekaligus menyanggah dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri pun seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedah menjual projek pembangunan bandar Malaysia kepada syarikat asing dari China demi melangsaikan hutang luar kawalan syarikat pelaburan Kerajaan Pusat itu.

“Setiap negeri di Malaysia secara aktif meningkatkan usaha mereka untuk mendapatkan lebih banyak pelabur ke negeri masing-masing.

“Pulau Pinang tidak ketinggalan melalui usaha-usaha Kerajaan Negeri menarik pelabur langsung asing ke sini.

“Jika pelaburan ini (Jabil Circuit) tidak dibenarkan dan salah, maka semua Zon Perindustrian Bebas seperti di Kulim, Kedah dan Iskandar, Johor juga perlu ditutup kerana mereka juga melakukan perkara yang sama bagi mendapatkan FDI,” katanya pada sidang media pada penganjuran Majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru 2016, anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), barisan Exco Kerajaan Negeri dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC). Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menambah, penjualan tanah untuk tujuan pelaburan sekaligus turut mencipta lebih 2,500 peluang pekerjaan mahir dalam pelbagai industri untuk tempoh lima tahun akan datang di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyanggah laporan portal berita pro Umno, MyKMU yang menuduh Kerajaan Pulau Pinang turut menjual sebidang tanah di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas kepada syarikat asing dari Singapura.

“Mendapatkan pelaburan untuk mewujudkan pekerjaan bukanlah mainan hartanah.

“Begitu juga Temasek Holdings Berhad yang akan membangunkan Projek Perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO).

“Ia bagi meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan sektor perkhidmatan di Pulau Pinang iaitu tambahan kepada sektor pembuatan sedia ada,” jelasnya.

Nada serupa turut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam kenyataan berasingan baru-baru ini.

“Pulau Pinang telah menarik perhatian syarikat-syarikat MNC dari seluruh dunia, bukan dari Amerika Syarikat sahaja.

“Satu-satu syarikat yang mahu membina kilang, mereka perlu pastikan sebidang tanah, jika masih ada, maka tanah itu akan dijual, tetapi tujuan adalah khusus untuk pembinaan kilang.

“Itupun, dalam suatu tempoh yang telahpun ditetapkan, kalau lebih dari tempoh yang ditetapkan itu, Kerajaan Negeri berhak mendapatkan balik tanahtanah tersebut.

“Itu bukan perkara baru dan dilakukan sejak 50 tahun lalu lagi…ini sejajar dengan dasar perindustrian di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.