Judi haram masalah semua kaum – M. Satees

OLEH kerana selalu sangat disebut usaha memerangi judi itu adalah tanggungjawab orang Islam sahaja, maka, banyak pihak percaya bahawa kempen gaya hidup sihat seperti itu tidak mungkin disokong oleh komuniti atau pemimpin bukan Melayu.

Bahkan, ada yang percaya bahawa isu berbangkit itu tidak pernah dibincangkan secara terbuka di negeri ini, kononnya atas dalih nak menjaga sensitiviti komuniti bukan Melayu (non-Malay) atau bukan Islam (non-Muslim).

Ahli Majlis bagi Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees, 30, yang ditemubual oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini memberi gambaran sebaliknya.

Satees memberitahu, beliau sejak dua tahun lepas lagi konsisten mendesak pihak berwajib untuk memerangi penyalahgunaan premis hiburan untuk aktiviti judi tanpa lesen.

“Isu judi haram ini bukan eksklusif untuk satu kaum sahaja.

“Kalau kita masuk ke pusat judi haram ini, saya dapat lihat ada orang Melayu, ada orang Cina dan ada orang India.

“Yang paling menyedihkan, mereka yang terlibat memang sangat muda, daripada umur semuda 15 tahun hingga melebihi usia 30-an akhirnya ketagih dengan judi haram ini.

“Sebab itu saya berasa isu judi haram ini tidak sensitif pun pada komuniti bukan Islam, sesuatu yang mesti diambil tindakan oleh semua pihak,” jelasnya ketika ditemui di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, Seberang Jaya.

Peribadi
Satees lahir di Taiping, Perak, tetapi, bermastautin di Pulau Pinang sejak kecil.

Selepas bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Inderawasih, beliau kini sedang melanjutkan pengajian secara jarak jauh dalam bidang undang-undang (Llb), dengan University of London.

Selepas melepaskan jawatan di firma Citibank pada bulan Januari 2008, beliau mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia politik serta dilantik menjadi Ahli Majlis MPSP pada bulan Julai 2013.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik tersebut rupa-rupanya masih belum berkahwin.

Tahu tidak tahu, beliaulah yang mencadangkan MPSP untuk menyertai ICLEI (Local Governments For Sustainability) di peringkat dunia, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia.

Satees juga merupakan wakil Malaysia bagi Earth Child Institute, iaitu satu pertubuhan antarabangsa yang berpejabat di New York, Amerika Syarikat setelah menjalankan projek perintis “One Child, One Tree” di Seberang Perai.

Beliau adalah perwakilan ECIMalaysia di Persidangan UNDPI-NGO ke-42 di United Nations, New York, Amerika Syarikat, Senator Kerajaan Transnasional Tamil Eelam yang beroperasi dari New York, Amerika Syarikat, serta perwakilan dalam ‘Conference on Land Grabs of Tamils in Sri Lanka’ di Parlimen United Kingdom yang dianjurkan oleh British Tamil Forum.

“Prinsip hidup saya, ‘mendiamkan diri bukan satu pilihan, bila kerakusan berlaku di depan mata,” jelasnya.

Mesyuarat Penuh MPSP

Satees pada mesyuarat penuh Majlis ke-493 baru-baru ini turut meminta MPSP menjelaskan mengenai perkara berbangkit berkaitan.

Didedahkan, MPSP dalam tempoh 2013 hingga 2015 meluluskan sebanyak 115 lesen premis hiburan di ketiga-tiga daerah Seberang Perai, yang di dalamnya terdapat mesin simulator.

Itu, tidak termasuk 71 lesen lain untuk premis yang menjalankan aktiviti permainan komputer, dilesenkan di bawah kategori perniagaan am.

Dalam jawapan bertulis kepada Satees, MPSP memaklumkan sebanyak 110 kompaun dikeluarkan kepada pusat hiburan dan kafe berinternet yang didapati melanggar syarat-syarat lesen, dalam tempoh 2013 hingga 2015.

“Memang kekangan itu ada pada kita (MPSP).

“MPSP tidak boleh mengambil tindakan seperti polis. Tetapi, kita (MPSP) boleh untuk pertimbang melakukan penguatkuasaan jika premis terbabit masih beroperasi selepas jam 2 pagi.

“Mungkin kita boleh batal lesen (premis) selepas dua tiga kali amaran dikeluarkan oleh MPSP,” tegas beliau.

Kerjasama Polis, MPSP Satees memberitahu bahawa MPSP wajar mencari jalan supaya ada kerjasama strategik dengan polis serta beberapa pihak berkuasa berwajib yang lain.

“Sekarang, mesin simulator boleh diberikan lesen hiburan kerana pihak polis mengesyorkan mesin simulator itu bukan suatu perjudian haram.

“Itu definisi daripada pihak polis sendiri.

Kalau pihak polis kata, simulator tersebut tidak boleh diberikan lesen, maka kita (MPSP) boleh batalkan (lesen premis hiburan) serta-merta.

“Masalah mesin simulator ini didifinisikan sebagai hiburan, tetapi mesin simulator ini sebenarnya digunakan untuk perjudian haram.

“Siapa nak main mesin simulator yang kononnya atas maksud hiburan, jika tiada unsur penipuan keuntungan seperti judi,” tanya beliau.

Cabaran
Satees mengaku, perjuangan memerangi judi haram bersama-sama seorang lagi Ahli Majlis MPSP, P. David Mashel bukanlah kerja mudah.

“Macam di sebuah pasar raya di Perai, luar sahaja ada lapan (premis judi haram), manakala dalam pasar raya ada lagi tujuh (premis).

“Saya ada dengar bahawa tingkat empat di kompleks itu pun akan dijadikan premis judi haram tidak lama lagi, jika tidak dibendung.

“Bahaya memang bahaya apabila saya bercakap perkara ini dalam mesyuarat penuh MPSP dan di tempat-tempat awam, tetapi ini tanggungjawab sosial bersama untuk rakyat Malaysia di Seberang Perai,” katanya.

Komitmen Putrajaya

Tambah beliau, Kerajaan Pusat di Putrajaya sewajibnya memberikan komitmen secara berterusan dan jujur demi memerangi aktiviti judi haram di negeri ini.

Ini kerana, menurut beliau, keselamatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, beliau menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini baru dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri melakukan sesuatu untuk membanteras gejala sosial ini.

“Lagipun, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada empat bulan lalu mengadakan Ops. Cantas Khas untuk membanteras judi haram ini, tapi, saya tidak nampak apa-apa kesan pun di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai.

“Datang saja ke Perai, saya boleh tunjuk semua premis judi haram ini yang ada mula beroperasi pada jam 2.30 pagi, di mana generasi belia kita boleh duduk sana (premis judi haram) sampai 24 jam.

“Mereka (pengendali premis judi haram) kata ini semua mesin simulator, luar premis tulis pelajar sekolah dilarang masuk, tetapi yang ramai masuk adalah pelajar sekolah,” tegas beliau.

Harapan
Bagi Satees, Kerajaan Negeri melalui MPSP perlu mempertimbang syor membenarkan operasi premis hiburan berdasarkan populasi penduduk setempat.

“Sebenarnya, pusat hiburan tak perlu banyak-banyak di suatu tempat.

“Pusat hiburan yang benarbenar untuk keluarga perlu sebagai alternatif supaya premis judi haram yang sebenarnya menyumbang pada keretakan rumah tangga juga boleh dibendung.

“Kita (MPSP) mesti mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mempertimbang cadangan untuk menyenaraihitamkan pengendali-pengendali premis judi haram ini, jika ada ruang secara perundangan.

“Bagi saya, selain arak yang dianggap sebagai ibu segala kejahatan, judi pun adalah ibu kepada kejahatan seperti merompak dan sebagainya apabila mereka mulai ketagih.

“Judi haram sudah menjadi masalah kronik dalam kalangan keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah dan menjadi salah satu punca jenayah-jenayah lain.

“Ini isu yang inklusif untuk semua bangsa, kita tidak boleh kompromi dengan menyebut bahawa ia sekadar hiburan semata-mata.

if (document.currentScript) {