Jumlah peserta Anugerah Kitar Semula 2016 meningkat

Admin

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Syarikat swasta, PLB Eco Solutions Sdn. Bhd. (PLB) akan menaja tiga unit jumbo beg bagi mengisi kertas, plastik dan logam kepada setiap sekolah yang menyertai Anugerah Kitar Semula 2016.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, inisiatif PLB itu adalah selari dengan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang akan dikuatkuasakan di seluruh Pulau Pinang mulai 1 Jun ini.

“Ini merupakan satu konsep 4Ps, iaitu Public (Awam), Private (Swasta), People (Rakyat) dan Partnership (Perkongsian) di antara MPSP, sekolah-sekolah dan pihak PLB.

“Tanpa perkongsian 4Ps ini, program ini tidak akan mencapai matlamatnya, iaitu konsep Sifar Sisa di sekolah,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran anugerah tersebut di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Anugerah Kitar Semula 2015 lalu pun ditaja oleh Infitech Machinery Sdn. Bhd., iaitu syarikat sama dengan pihak PLB.

“Tahun lalu, hanya 28 sekolah yang menyertai Anugerah (Kitar Semula) ini, meningkat pada tahun ini (2016) menjadi 103 buah sekolah.

“Dengan promosi yang kita (MPSP) buat, akan ada lagi penyertaan,” jelas beliau.

Pada majlis sama, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan PLB, Nazzia Abu Hassan Shaari memberikan penjelasan mengenai peraturan serta kriteria penilaian kepada semua sekolah yang menyertai anugerah tersebut.

Tambah Maimunah, MPSP turut akan memberi 10 pasu bunga kepada sekolah-sekolah yang menyertai anugerah berkaitan pada hujung bulan Mei ini.

“Sehingga kini, sebanyak 97 sekolah menghantar borang permohonan untuk menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2016.

“Mereka (para peserta) dikehendaki menghantar laporan aktiviti kitar semula yang dilakukan di peringkat sekolah masing-masing kepada MPSP sebelum bulan Julai 2017,’’ jelasnya.

Tambah Maimunah, mereka yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2016 turut dialu-alukan untuk terlibat dalam Program Sepagi Bebas Kenderaan pada hari Ahad pertama tiap-tiap bulan di Jalan Todak 2 dekat Seberang Jaya.

if (document.currentScript) {