KAAK-TR lahirkan pengasuh terlatih & kualiti

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penganjuran Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (Taska Di Rumah) (KAAK-TR) Ke-Empat oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharap dapat menambahkan bilangan pengasuh kanak-kanak terlatih di negeri ini.

Harapan tersebut disuarakan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Pengarah PWDC, Chong Eng pada Majlis Pembukaan KAAK-TR bertempat di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Chong Eng berkata, komitmen Kerajaan Negeri untuk menambahbaik kualiti penjagaan kanak-kanak di Pulau Pinang dicerminkan dengan penganjuran kursus tersebut.

“Melalui kursus ini, ia akan membantu menambahkan bilangan dan akses kepada penjagaan kanak-kanak sama ada di pusat-pusat jagaan yang berpusat di rumah, institusi, swasta ataupun komuniti.

“PWDC bersama Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan kepada keluarga terutamanya kaum ibu untuk mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak yang selamat dan berkualiti,” ujar beliau.

Kira-kira 35 peserta terpilih menjalani kursus selama enam hari berkenaan. Sepanjang kursus, para peserta dilatih dan diberikan pendedahan berhubung cara pengendalian ataupun penubuhan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Menurut rekod, nisbah pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang adalah 1:1352 iaitu bersamaan satu pusat jagaan untuk setiap 1,352 kanak-kanak di bawah 12 tahun.