Kadar kitar semula P. Pinang tertinggi dalam negara

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BATU MAUNG – Di bawah transformasi Dasar Cleaner, Greener, Safer, Healthier Penang, Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negeri mencatatkan kadar kitar semula tertinggi dalam negara, iaitu bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kadar kitar semula tahunan adalah 28 peratus, manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 34 peratus.

Kadar tersebut jauh lebih baik dari sasaran kadar kitar semula kebangsaan secara purata iaitu sebanyak 20 peratus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, dengan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bermula 1 Jun lalu, Pulau Pinang pastinya mampu mencapai dan mengungguli kadar sasaran tertinggi dalam negara, setanding negara-negara maju di peringkat global.

“Pulau Pinang sebenarnya telahpun berjaya mencapai sasaran kebangsaan sejak beberapa tahun lalu dan saya yakin serta percaya, kita (Pulau Pinang) mampu mencapai standard antarabangsa bagi negara-negara maju iaitu dengan mensasarkan kadar kitar semula 40 peratus menjelang tahun 2020,” katanya pada sidang media sejurus Majlis Pelancaran Pengasingan Sisa Di Punca bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim serta beberapa Ahli Majlis MBPP antara yang hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng berharap rakyat Pulau Pinang dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing ke arah sebuah negeri maju bertaraf antarabangsa.

“Saya mahu lihat penglibatan setiap masyarakat bukan sahaja di peringkat kampung, malah melibatkan premis-premis perniagaan tempatan.

“Lagipun, dalam usaha ke arah sebuah negara bertaraf antarabangsa, (pengurusan) sampah juga perlu (dititikberatkan),” ujarnya yang akan mengadakan lawatan ke semua 40 KADUN di Pulau Pinang bagi melihat pelaksanaan pengasingan sisa di punca.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dan menjayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Pulau Pinang.

“Bagi tempoh satu tahun ini, kita (Kerajaan Negeri) akan menggunakan pendekatan ke arah kesedaran berhubung inisiatif berkaitan.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan kenakan sebarang denda lagi.

“Namun, setelah terbentuknya kesedaran, kita (Kerajaan Negeri) akan mewartakannya sebagai undang-undang kecil dan akan mengenakan bayaran kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan yang berulang pula, tindakan mahkamah dan denda RM2,000 boleh dikenakan terhadap individu ingkar,” jelasnya.

Bermula 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri mula melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi seluruh negeri dengan tiga langkah mudah iaitu kenal pasti jenis sisa, asingkan mengikut jenis sisa, sama ada sisa baki (sampah) atau sisa kitar semula dan masukkan ke dalam tong berasingan mengikut jenis sisa.

Maklumat lanjut, layari www.pgc. com.my/dasar-pengasingan-sisa-dipunca atau hubungi talian hotline di MBPP: 04 – 263 7637 atau MPSP: 04 – 549 7555.

} else {