Kaji pelan blok, ringan beban penduduk luar bandar

GEORGE TOWN – Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Nur Zarina Zakaria menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan mengkaji serta mempertimbangkan penggunaan semula pelan blok kebanyakannya oleh penduduk luar bandar berhubung permohonan mendirikan kediaman sendiri di atas tanah tidak melebihi keluasan 1,000 kaki persegi.

Ini kerana, katanya, sejak ia dimansuhkan pada penghujung tahun 2013 dan digantikan dengan permohonan merancang, ia secara jelas membebankan penduduk berkaitan.

“Dahulu, kadar bagi mendapatkan pelan blok adalah amat berpatutan dan tidak membebankan penduduk khususnya mereka dari luar bandar.

“Tetapi, disebabkan oleh kelonggaran permohonan dan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab, penggunaannya telah digantikan dengan proses permohonan merancang.

“Permohonan merancang ini telah membebankan penduduk luar bandar dengan mengambil kira segala kos yang perlu ditanggung oleh mereka,” jelasnya pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa MPPP di Dewan Bandaran baru-baru ini di sini.

Oleh itu, Nur Zarina mencadangkan agar MPPP dapat melakukan kajian semula bagi menambah baik pelan blok tersebut agar selaras dengan peningkatan isi rumah luar bandar.

“Dengan penambahbaikan tersebut, saya percaya ia mampu mengurangkan peningkatan kadar pembangunan struktur tanpa pelan merancang, malah di samping itu, dapat meningkatkan pendapatan Majlis melalui pembayaran cukai,” ujar beliau.