Kaji polisi bayar jika hasil sisa makanan – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Langkah penguatkuasaan seperti pelanggan dikenakan bayaran bagi sisa makanan yang dihasilkan perlu dikaji untuk dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada masa depan.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, rakyat di negara ini dikatakan melakukan pembaziran makanan kira-kira 8,000 tan setiap hari, disebabkan tidak mengamalkan panduan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

“Pembaziran yang dilakukan itu berupaya menampung sebanyak 5.3 juta orang untuk makan bagi tempoh tiga hari.

“Langkah penguatkuasaan seperti bayar apa sisa makanan yang dihasilkan perlu difikirkan.

“Ini kerana, pembaziran itu boleh diatasi jika semua pihak sentiasa mengutamakan panduan pemakanan yang sihat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada penganjuran Bengkel Makan Sampai Habis di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyatakan bahawa, penganjuran pertandingan melukis poster bertemakan “Makan Sampai Habis” peringkat sekolah rendah dan menengah adalah salah satu pendekatan pendidikan yang dilakukan demi mengubah tabiat generasi masa depan.

“Sebanyak 90 poster membabitkan penyertaan peserta sekolah rendah dan 38 poster sekolah menengah telah diterima untuk pengundian dibuat melalui laman web www.pgcaring society.com. my.

“Selain itu, bagi menjayakan kempen makan sampai habis, sebanyak 15 pameran telah diadakan dari 1 April 2015 hingga 30 Mei 2015,” jelas beliau.

Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Maljis MPSP, Mohd. Sharmizan Mohamad Nor, Siti Nur
Shazreen Mohd. Jilani, Zaini Awang, Mustafa Kamal Ahmad dan Tan Cheong Heng turut menyertai bengkel tersebut.

}