Kaji Selidik Bajet 2018 MBPP sehingga 30 Jun

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini melaksanakan tinjauan atas talian serta mengedarkan borang soal selidik awam bagi mendapat maklum balas dan pendapat orang ramai dalam merangka Bajet MBPP 2018.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, penglibatan orang ramai bakal membolehkan MBPP menyediakan satu bajet yang lebih menyeluruh untuk dimanfaatkan oleh keseluruhan penduduk Pulau Pinang.

“Melalui kaji selidik ini, diharapkan bajet yang disediakan untuk sesuatu perkhidmatan atau projek akan lebih berkesan dan orang ramai juga akan berbangga serta menilai tinggi setiap kemudahan disediakan. “Justeru, orang ramai boleh menghantar maklum balas tersebut mulai 1 hingga 30 Jun ini,” katanya pada Program Kaji Selidik Bajet 2018 di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Pada penganjuran tersebut, antara isu yang menjadi fokus untuk dipertimbangkan MBPP ialah penyelenggaraan pokok-pokok besar dan renek di sepanjang jalan serta isu penempatan penjaja kecil bagi menambah pendapatan masyarakat peniaga.

Kaji Selidik Bajet 2018 boleh dibuat menerusi laman sesawang MBPP, www. mbpp.gov.my atau borang soal selidik boleh didapati dekat setiap kaunter bergerak MBPP di lokasi-lokasi terpilih di bahagian pulau.