Kaji selidik PYDC sedia Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri

Admin

PADANG LALANG – Sebanyak 56 pasukan menyertai penganjuran tahun ketiga Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC 2017 Peringkat Seberang Perai di sini. Jumlah tersebut merupakan penyertaan terbanyak berbanding penganjuran dua tahun lepas.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bakal menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang dengan menjalankan kajian serta soal-selidik membabitkan golongan belia.

“Kami berharap dapat mengetahui cabaran dan permintaan golongan belia, supaya dapat memahami pemikiran serta cabaran mereka pada aspek pendidikan, sosial ekonomi, kehidupan, pembangunan diri, tahap penglibatan masyarakat dan agama,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC Peringkat Kawasan Seberang Perai 2017 dekat Gelanggang Bola Keranjang Kota Permai baru-baru ini.

Sebelum itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng memberitahu, sejak tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri melabur dalam program kejohanan seumpama itu demi mewujudkan gaya hidup lebih sihat membabitkan golongan belia.

“Bukan semua pelaburan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri akan memberikan kesan berganda (multiplier effect) dalam bentuk keuntungan.

“Begitu juga dengan acara tahunan seumpama ini, kesan bergandanya dilihat daripada segi sosial, seperti mewujudkan kondisi gaya hidup lebih sihat dalam kalangan belia,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Dalam acara berasingan di bahagian pulau, Guan Eng berharap sukan bola keranjang dapat membentuk semangat cintakan negeri, seperti yang dilaungkan, ‘Saya Pulau Pinang’.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja mahu inspirasi Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Pulau Pinang, malah juga perasaan dan semangat ‘Saya Pulau Pinang’ perlu juga diterapkan.

“Saya harap, anda semua bermain dengan penuh bersemangat dan semoga berjaya ,” ucapnya pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang Piala PYDC Peringkat Kawasan Pulau 2017 dekat Taman Kejiranan Karpal Singh, Lorong Delima 11 baru-baru ini.

Turut sama, Chong Eng; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer.