Kajian tambah baik amaran awal, urus krisis bakal libat perkongsian ilmu jabatan meteorologi negara asing

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri berhasrat menjalankan kajian pengumpulan data bagi perkhidmatan meteorologi yang dilaksanakan di negara-negara lain sekitar rantau ini untuk menambah baik penyampaian amaran awal serta pengurusan krisis di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, meskipun Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan pengurusan krisis, namun masih banyak lagi langkahlangkah pencegahan yang perlu ditambah baik.

“Paling utama adalah memastikan rakyat Pulau Pinang khususnya mendapat makluman tepat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika berhadapan cuaca buruk atau bencana.

“Kajian ini akan melibatkan jabatan meteorologi negara asing dan ada di antaranya telah menyatakan kesanggupan mereka untuk membantu termasuk China, Britain dan Jepun yang merupakan pihak-pihak yang telah biasa dengan bencana alam,” ucapnya pada Majlis Makan Malam Penyampaian Anugerah Green Pinang 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Jawi, Soon Lip Chee; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) , Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dan Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen.

Guan Eng yang juga Pengerusi PGC turut merakamkan ucapan terima kasih kepada lebih 10,000 sukarelawan yang membantu memulihkan semula negeri ini dari kesan pasca banjir paling teruk dalam sejarah melalui program ‘Pulau Pinang Bangkit’.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan Pulau Pinang yang telah menonjolkan makna sebenar ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ bagi memulihkan Pulau Pinang.

“Kita (Pulau Pinang) telah mencapai pencapaian yang memberangsangkan dengan bangkit dan membersihkan 100 peratus kawasan terjejas dalam masa 10 hari dan hampir 10,000 tan sampah sarap telah dikumpul serta dibersihkan hasil usaha semua pihak,” katanya.

Pada majlis tersebut, Guan Eng turut menyempurnakan beberapa penyampaian anugerah, antaranya Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang; Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang; Projek Step by Step; Anugerah Kemampanan Alam Sekitar Pulau Pinang; Anugerah Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Pinang serta penghargaan kepada 48 pejabat kerajaan dan swasta yang diperakui sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang bagi tahun 2017.

 

 


Kategori: Bahasa Malaysia, Hijau

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives