Kalendar Peristiwa Perdagangan, iktiraf rakan-rakan penganjur

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Pelancaran Kalendar Peristiwa Perdagangan 2016 membuktikan bahawa Kerajaan Negeri hari ini terus mengiktiraf para rakan penganjur aktiviti perniagaan dan perdagangan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap persekitaran ekonomi di negeri ini akan terus berkembang, sungguhpun terpaksa mendepani masalah kejatuhan nilai Ringgit (RM) serta pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan semua pihak.

“Trade Events Calendar 2016 (Kalendar Peristiwa Perdagangan 2016) adalah demi menggalakkan pameran perdagangan dan pameran pada tahun 2016.

“(Inisiatif ini) adalah salah satu daripada langkah-langkah penting yang diambil demi merangsang dan meningkatkan aktiviti ekonomi (meliputi) sektor perdagangan dan perniagaan di Pulau Pinang.

“Ia juga memberi pengiktirafan kepada rakan-rakan (meliputi) penganjur acara sekerja, persatuan dan sebagainya,” ucapnya pada Majlis Pelancaran 7th Penang Trade Events Calendar 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif. Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited membantu para rakan penganjur berkenaan untuk mengembangkan aktiviti perdagangan masing-masing ke peringkat nasional hatta antarabangsa pada masa hadapan.

Chinese New Year Property 2016, Homeland Fair, 8th Penang International Indians Shopping Festival 2016, 18th & 19th Penfernex 2016, Tastefully Food & Beverage Expo 2016, Penang Ramadan Souq 2016, Penang Culinary Skill Challenge, Battle of the Chefs, Asia Food Festival, Festival Raya Hijab dan Kecantikan 2016 (Hijabey 2016) dan Vendor Boutique Festival (VBFEST 2016) adalah antara peristiwa yang dimuatkan dalam kalendar berkaitan.

Kalendar tersebut dilancarkan tiaptiap tahun sejak 2009 demi menghargai rakan penganjur program perdagangan dan perniagaan bersama-sama Kerajaan Negeri, selain merangsang perkembangan prospek ekonomi di Pulau Pinang.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);