Karnival Car Boot Barter Trade 2016 catat rekod MBOR

PANTAI JEREJAK – Karnival Car Boot Barter Trade 2016 yang disertai lebih 500 kenderaan anjuran organisasi keusahawanan muda, Junior Chamber International United Penang (JCI) baru-baru ini berjaya mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan kereta paling banyak bagi acara berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir merasmikan penganjuran karnival kelapan itu menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang menjayakannya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan terhadap program-program yang mempunyai nilai-nilai positif terhadap alam sekitar dan masyarakat seperti ini.

“Karnival ini mengetengahkan pertukaran barang secara suka sama suka dan sekaligus mampu mengelak budaya pembaziran dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang.

“Secara tidak langsung, ia juga mampu menggalakkan rakyat Pulau Pinang mengamalkan amalan kitar semula sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran kadar kitar semula 40 peratus menjelang tahun 2020 nanti, berbanding sasaran nasional hanya 20 peratus,’’ ujarnya pada penganjuran berkaitan di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, Presiden JCI United Penang, Andy Lau dan Pengerusi Penganjur Karnival Car Boot Barter Trade 2016, Alvin Poh.

Dalam pada itu, Soon Hin ketika berkongsi pengalaman memberitahu bahawa penganjuran pada tahun pertama iaitu 2008 hanya membabitkan penyertaan 20 kereta sahaja.

“Namun, hari ini, semua titik peluh dan sikap tidak mudah putus asa akhirnya membuahkan hasil,’’ katanya.

Car Boot Barter Trade adalah berkonsepkan transaksi tanpa tunai dan segala urusan jual beli dilakukan secara barter iaitu pertukaran barang atas dasar suka sama suka.