Karnival Hijau P. Pinang promosi nilai kehijauan

GEORGE TOWN – Tajaan RM100,000 daripada sebuah syarikat telekomunikasi diharap dapat mempromosikan nilai kehijauan alam sekitar sambil mengurangkan kesan pencemaran bersempena penganjuran Karnival Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 pada 13 hingga 14 September ini di Padang Kota Lama di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, beliau berharap dengan termeterainya memorandum persefahaman tersebut, ia akan membantu Kerajaan Negeri dan swasta untuk terus bekerjasama lebih
erat dalam mencapai kejayaan pada karnival tersebut kelak.

“Pada dua hari penganjuran karnival, satu forum mengenai kefahaman alam sekitar akan diadakan.

“Turut tersenarai adalah cubaan memecahkan rekod Malaysia Book of Record dalam acara tarian ‘Chicken Dance’ beramai-ramai.

“Selain itu, turut memeriahkan penganjuran berkenaan adalah acara lasak, Escape Mini Theme Park, Wet World Wild, King of the Green Chef Competition II, JCI Green Wheel, Grab a Free Plant, naga terpanjang dan banyak lagi untuk dinikmati bersama keluarga,’’ katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Penajaan Karnival Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 Antara Penang Green Council (PGC) dan syarikat telekomunikasi, XOX Berhad di sini baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu sebagai wakil PGC dan XOX Berhad diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya, Ng Kok Heng sambil disaksikan Kon Yeow.