Karnival Pengguna sasar golongan belia peka hak konsumer

Teks & Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TENGAH – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kasim mengadakan satu sesi lawatan mesra bersempena penganjuran Karnival Pengguna 2014 di Juru di sini baru-baru ini.

Abdul Malik ketika ditemui memberitahu, karnival seumpama tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan di bawah Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang bagi mendidik masyarakat di negeri ini.

“Objektifnya adalah untuk memberi kesedaran dan melindungi hak-hak pengguna dalam kalangan masyarakat terutamanya di Pulau Pinang.

“Orang ramai boleh memanfaatkan informasi kepenggunaan terkini daripada agensi yang terlibat demi melindungi hak masing-masing,” katanya pada sesi lawatan ke Karnival Pengguna 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen.

Beberapa peniaga tempatan dan agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Penang International Halal Hub (PIHH) dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Negeri Pulau Pinang turut menjayakan karnival tersebut.

Turut diadakan, pameran motor skuter, pertandingan muay thai dan persembahan lawak pengguna daripada kumpulan Mamu Maharaja Lawak Mega.

Menurut Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung, karnival bertemakan ‘Pengguna Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’ tersebut memberi fokus utama terhadap belia di negeri ini.

“Ini adalah kerana golongan belia telah dikenalpasti sebagai kelompok terbesar dalam masyarakat.

“Sasaran kita (Kerajaan Negeri) adalah supaya informasi hak kepenggunaan sampai kepada kelompok ini dan sekaligus mereka dapat memberi penerangan kepada keluarga dan kenalan masing-masing,” ujar beliau.