Kasthuriraani turun padang hargai golongan wanita

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BATU KAWAN – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani mengedarkan kira-kira 500 kuntum bunga daisi kepada golongan Hawa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di tapak pasar malam Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Turut turun padang adalah pasukan Briged Wanita kawasan Batu Kawan.

Menurut Kasthuriraani, inisiatif pengedaran bunga adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada kaum wanita di sini yang selama ini gigih menjaga keluarga dan pengorbanan dalam membangunkan negara khususnya negeri ini.

“Walaupun program ini tidaklah seberapa, ianya diharap dapat membuatkan golongan wanita di sini rasa dihargai,’’ katanya pada Program Pengedaran Bunga Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di sini baru-baru ini.

Kasthuriraani dalam pada itu turut menyarankan agar golongan wanita berusia 18 tahun ke atas untuk sama-sama aktif dalam pembabitan pasukan Briged Wanita bagi merebut peluang dan manfaat disediakan Kerajaan Negeri kini.