Kebocoran gutter, MBPP nekad selenggara segera

BAYAN LEPAS – Masalah kebocoran pada lorong air hujan (gutter) yang menyebabkan limpahan air di beberapa bahagian Kompleks Pasar Awam Bayan Baru di sini akan diselenggara dalam tempoh terdekat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Bercakap kepada pemberita, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Ang Aing Thye berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut pada kadar segera memandangkan kebocoran tersebut secara tidak langsung menjejaskan perniagaan para peniaga ketika musim hujan.

Kata Aing Thye, beliau akan mengarahkan arkitek dan jurutera bertanggungjawab supaya memantau keseluruhan kerja pembaikan yang dijalankan pihak kontraktor bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

“Kita memahami nasib yang dihadapi peniaga, terutamanya ketika hari hujan lebat.

“Tumpuan penyelenggaraan akan diutamakan kepada masalah utama terlebih dahulu seperti, kebocoran lorong air hujan, lubang perparitan besar serta jalan yang berlopak dan berlubang.

“ Manakala , masalah sampingan lain akan dilakukan secara berperingkat,” ujarnya ketika mengadakan lawatan khas ke Kompleks Pasar Awam Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Azman Sirun, Arkitek MBPP, Ridzuan Salleh dan wakil peniaga Kompleks Pasar Awam Bayan Baru.

Setakat Julai 2015, difahamkan bahawa MBPP telah membelanjakan kira-kira RM161,818.93 untuk keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan bagi pasar, kompleks makan, balai rakyat dan tandas awam di negeri ini.

Dalam pada itu, bagi masalah jalan berlubang , Aing Thye memberitahu bahawa MBPP masih dalam kajian dan terdapat cadangan untuk menurap bahagian jalan berkenaan dengan konkrit.

“ Konkrit akan digunakan supaya ia lebih tahan kerana kawasan ini sering digunakan lorilori besar untuk tujuan menaik dan menurunkan muatan,” jelas beliau.

}