Kejayaan P. Pinang bergantung kepada semua, harap kakitangan awam bantu jelas dasar KN kepada rakyat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau percaya bahawa kejayaan Kerajaan Negeri hari ini adalah hasil kerjasama padu daripada barisan Exco dan semua 4,718 anggota perkhidmatan awam di sini.

“Kejayaan Pulau Pinang bukan sahaja bergantung kepada seorang ketua menteri atau Exco-Exco Kerajaan Negeri, tetapi juga bergantung kepada mutu perkhidmatan semua kakitangan Kerajaan Negeri dalam menjelaskan dasar-dasar Kerajaan,” jelasnya dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berharap semua penjawat awam dapat menjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang sebenar kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

“Bukan sahaja saya dan barisan Exco, semua anggota penjawat awam pun perlu menjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri.

“Ada sesetengahnya bukan sahaja tidak menjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri, sebaliknya mengutuk Kerajaan Negeri sendiri yang membayar gaji mereka, tetapi kes sebegini semakin berkurangan.

“Yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri, kesetiaan anda tidak boleh dipertikaikan.

“Ingat…kalau tidak boleh setia kepada Kerajaan Negeri, anda tidak harus berkhidmat dengan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Turut berucap, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus. Guan Eng dalam pada itu, turut memuji pasukan pengurusan Farizan yang berjaya mengekalkan rekod Pulau Pinang sebagai Kerajaan Negeri paling awal mengemukakan laporan dan penyata kewangan selama sembilan tahun berturut-turut.

Menurutnya, pengalaman dan kecekapan anggota penjawat awam di Pulau Pinang ketika ini menyebabkan sesetengah pihak melihat Kerajaan Negeri sebagai ‘Mini Putrajaya’.