Kejohanan Bola Keranjang bakal pamer aksi antarabangsa

Admin

Oleh: WATAWA NATA F ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi memperkasakan bidang pelancongan melalui sukan apabila bakal menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang Piala Ketua Menteri pada 25 hingga 29 Julai ini bertempat di Stadium Tertutup Han Chiang di sini.

Kejohanan jemputan enam pasukan tersebut turut menyaksikan penyertaan empat wakil antarabangsa iaitu Australia, Filipina, India dan Taiwan.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang (PBA), Ooi Khoon Yeong berkata, objektif penganjuran sukan tersebut adalah sebagai batu loncatan dalam menaikkan mutu sukan bola keranjang negara.

“Ini kerana, ketika berlangsungnya kejohanan, pasukan-pasukan antarabangsa akan dibawa melawat lokasi-lokasi pelancongan menarik dalam negara yang memberi impak positif kepada sektor pelancongan sukan.

“Tidak terkecuali adalah peluang mencuba makanan-makanan enak tempatan yang turut memberi kesan sama pada sektor berkaitan,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan dan Timbalan Pengerusi II MSNPP, Datuk Ong Poh Eng.

Kejohanan yang turut memperoleh sokongan MSNPP tersebut juga menerima tajaan daripada beberapa syarikat pengeluar produk sukan seperti Li Ning, Molten dan Asadi.

Malah, penyertaan pasukan Australia Chinese Basketball Association, Chinese Taipei National Art University, India Karnataka State
Men Team, Philipines Cebuana Lhuirier Gems dan Pilihan Malaysia pastinya menjanjikan aksi mempesonakan kejohanan yang bakal berlangsung di sini.

Menurut Chong Eng, penganjuran acara bertaraf antarabangsa tersebut lazimnya tepat dengan status Pulau Pinang yang merupakan sebuah negeri pengeluar atlet-atlet bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton dan Datuk Nicol Ann David (skuasy).

“Malah, dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XVII di Perlis baru-baru ini, Pulau Pinang turut membuat beberapa kejutan terutamanya dalam acara badminton yang menyaksikan atlet muda, Goh Jin Wei berusia 14 tahun menewaskan Yang Li Lian yang merupakan pemain kebangsaan pada aksi akhir individu wanita,” jelas beliau.

Tiket kejohanan boleh didapati pada kadar RM50 bagi pelajar serta RM100 kepada bukan pelajar untuk pas tempoh lima hari. Bagi yang ingin menonton secara harian, bayaran sebanyak RM10 bagi pelajar dan RM20 (bukan pelajar).