Kek Lok Si terima sumbangan sangkar khas asing sisa

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi menyediakan tiga sangkar khas dan 15 tong sampah di kuil terkemuka, Kek Lok Si bagi memudahkan pengunjung membuang dan melupuskan sisa mengikut jenis yang ditetapkan di sini.

Hon Wai ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan akan membantu pengunjung melupuskan sisa di tempat yang betul agar persekitaran kawasan tersebut terus terpelihara selaras dengan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

Katanya, daripada semua barang-barang kitar semula yang dikumpul, botol plastik minuman mencatatkan jumlah kutipan tertinggi.

“Oleh itu, saya ingin menyeru masyarakat agar mengurangkan penggunaan botol plastik minuman sebagai usaha menyokong kempen Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri semenjak tahun lalu.

“Diharap, sumbangan ini sedikit-sebanyak akan membawa kesan positif ke arah melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar,” ujarnya selepas sesi sumbangan tersebut kepada wakil kuil 31 Julai lalu.

Selain Kek Lok Si, Hon Wai turut mengambil inisiatif menyediakan 11 pusat kitar semula lain di dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN)nya.