Kempen berkesan, 10 lagi papan tanda ‘karikator monyet’ akan dipasang

GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel berkata, 10 lagi papan tanda kempen menyamakan mereka yang membuang sampah di merata-rata tempat dengan karikator monyet akan dipasangkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Lebih kurang 90 peratus sampah di beberapa kawasan pembuangan sampah haram nampaknya semakin berkurangan apabila papan tanda kontroversi ini dinaikkan.

“Walaupun ada kritikan daripada orang awam dan beberapa pihak media tertentu kononnya papan tanda ini seakan menghina Orang Hutan, tetapi, akhirnya media-media tersebut menyiarkan laporan yang positif, apabila melihat keberkesanan papan tanda kempen ini.

“Kita akan memasang 10 lagi papan tanda seperti ini, dengan menukar gambar monyet kepada karikator monyet sebagaimana disyorkan oleh beberapa pihak, asalkan kempen ini terus memberi kesedaran kepada komuniti kita,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Majlis MPSP, M. Satees.

Menurut David Marshel, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam lawatan kerjanya ke Seberang Perai baru-baru ini turut memuji kaedah kempen kreatif ini, yang diusahakan melalui MPSP terbabit.

“Mereka (MBSJ) juga telah meminta kebenaran daripada saya untuk mendirikan papan tanda seumpama di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) mereka, tetapi saya cakap tiada hak cipta terpelihara pada reka papan tanda ini.

“Sesiapa sahaja boleh mengambil reka papan tanda ini, jika mereka berasa ia berkesan untuk mengajak tiap-tiap orang membanteras pembuangan sampah haram,” ujarnya.

Sebelum itu, Satees memberitahu bahawa beliau bersama-sama David Marshel akan mengeluarkan peruntukan masing-masing bagi membiayai pemajuan 10 papan tanda tersebut yang meliputi ketiga-tiga daerah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

10 lokasi yang dicadangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPSP adalah di Taman Desa Damai, Taman Belatok (dekat Nibong Tebal), Taman Seri Kijang, Taman Bukit Minyak, Taman Tangling Jaya, Pusat Perniagaan Sungai Dua, Taman Semilang (dekat Seberang Jaya) serta Jalan Siram, Taman Kerapu dan Kampung Paya (dekat Butterworth).

} else {