Kempen kitar semula MPSP berjaya kurangkan sampah

Admin

BERAPIT – Sebanyak 6,451.89 tan sampah berjaya dikurangkan daripada memasuki tapak pelupusan sampah Pulau Burong pada 2016 berbanding tahun 2015 hasil kempen kitar semula yang giat dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sisa Sifar FYS Marketing Sdn. Bhd. (sebuah syarikat kuari) dan Taman Mutiara Jaya di sini baru-baru ini.

“Pada tahun 2016 di Seberang Perai, jumlah berat sampah yang masuk ke Pulau Burong ialah 434,008.51 tan, manakala 440,460.40 tan (2015).

Apabila jumlah sampah berkurangan, MPSP secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan dan seterusnya lebihan tersebut dapat disalurkan bagi pembangunan infrastruktur lain.

“Satu kajian yang dijalankan oleh badan pemikir Kerajaan Negeri iaitu Penang Institute (PI) menunjukkan, berat sampah per kapita di Seberang Perai juga semakin menurun iaitu dari 1.6 kilogram (tahun 2008) kepada 1.3 kilogram (tahun 2015),” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MPSP dan Pengerusi FYS Marketing Sdn. Bhd., Zeems Foo Kheng Sin.

Menurut Rozali, kadar kitar semula di Seberang Perai turut meningkat dari 39.64 peratus pada 2015 kepada 42.60 peratus (2016).

Beliau dalam pada itu sekali lagi mengingatkan kepada umum bahawa bermula 1 Jun 2017, MPSP akan menguatkuasakan sepenuhnya Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

“Dalam tempoh enam bulan pertama iaitu pada 1 Jun 2016 hingga Disember 2016, kita (MPSP) anggap ianya tempoh percubaan dan dalam jangka masa itu, MPSP merekodkan kutipan sisa di punca sebanyak 252.86 tan.

“Namun, dengan kempen serta notis yang sudah dihantar kepada kebanyakan premis, jumlah ini diharap dapat ditingkatkan lagi,” seru Rozali.