Kempen ‘Saya ♥ Pulau Pinang’ demi pertahan Pulau Pinang melalui kasih-sayang

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Ketua  Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berjanji akan terus mempertahankan Pulau  Pinang daripada pihak yang mahu ‘menghapuskan’ negeri ini supaya ia lenyap dan hilang daripada tanah air dengan menukarnya kepada Wilayah Persekutuan.

“Kita akan pertahankan TYT (Tuan Yang Di-Pertua) yang kita kasihi… kita akan membela hak rakyat Pulau Pinang untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Exco dan Ketua Menteri yang tinggal di Pulau Pinang dan bukan di Putrajaya.

“Justeru, Kerajaan Negeri melancarkan kempen menyelamatkan Pulau Pinang melalui kasih sayang, iaitu ‘Saya ♥ Pulau Pinang’,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff hadir sebagai tetamu khas majlis.

Turut memeriahkan penganjuran, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy; barisan Exco, ADUNADUN; Ahli-ahli Parlimen; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; kakitangan-kakitangan awam dan para pemimpin masyarakat tempatan.

Turut serta, hampir 5,000 hadirin yang hadir untuk bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2017.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut menggariskan beberapa kejayaan penting Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH).

Antaranya, lebihan belanjawan selama lapan tahun berjumlah RM574juta; program-program kebajikan Emas hasil dividen anti rasuah; pengecualian cukai pintu serta rebat; penyerapan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM55.19 juta untuk 1.6 juta penduduk Pulau Pinang.

Selain acara lor sang, pelbagai persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian turut dipersembahkan selain sajian makanan yang enak.