Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma 2.0, 8 jenis premis perniagaan wajib daftar

Admin

SEBERANG JAYA – Lapan kategori premis komersial diwajibkan berdaftar dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) demi menjayakan dasar dan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma 2.0 di bahagian Seberang Perai.

Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud memberitahu, lapan premis perniagaan yang dimaksudkan ialah pasar raya hyper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Berdasarkan rekod MPSP, Rozali memberitahu, terdapat 398 premis perniagaan berlesen sepatutnya terlibat dalam amalan dasar berkenaan.

“Ini adalah suatu dasar yang telah ditambah baik daripada (dasar) sedia ada…pendaftaran dibuka sejak 1 Mac lalu hingga 20 April 2017.

“Pendaftaran percuma, boleh dibuat di mana-mana kaunter berpusat, dengan membawa salinan (sijil daftar syarikat) SSM serta salinan lesen (premis perniagaan) dan akan diberikan sijil penyertaan (kempen),” ujarnya kepada pemberita di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Tambah Rozali, pemilik perniagaan yang gagal membuat pendaftaran berwajib akan menghadapi pelbagai birokrasi penguatkuasaan, termasuk langkah terakhir MPSP menarik lesen premis masing-masing.

“Sekiranya mereka gagal membuat pendaftaran selepas tempoh tersebut (20 April 2017), tindakan-tindakan sewajarnya akan diambil…seperti menamatkan lesen.

“Semua lapan kategori perniagaan ini tidak boleh memberi beg plastik secara percuma, tetapi dikenakan caj 20 sen sekiranya diminta oleh pengguna.

“Mereka (pemilik premis perniagaan) yang berdaftar sahaja yang boleh pungut (20 sen), jika tidak daftar tidak boleh pungut.

“Walaupun mereka tidak boleh pungut, penguatkuasaan hari tanpa beg plastik percuma berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Tambah Rozali, hasil kutipan bulanan mestilah diserahkan kepada MPSP dalam bentuk cek dengan mengisi satu borang berwajib dalam tempoh 15 hari pertama setiap bulan berikutnya.

“Semua hasil ini bukan untuk MPSP, tapi akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.