Kemuka bukti, bukan hanya cakap kosong – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, mencabar Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh supaya menyerahkan senarai nama penerima projekprojek tanah konsesi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan pengagihan projek-projek Kerajaan Pusat.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said pada Majlis Perhimpunan Agung UMNO 2014 November lalu yang berbunyi, ”Kalau kita bersekongkol, bersubahat, maka kita selamanya akan dihina, oleh kerana sikap pegawai-pegawai penguatkuasa kita”.

“Kalau beliau (Mohd. Zaidi) ada bukti, kita (Kerajaan Negeri) minta beliau kemukakan dan bukan hanya bercakap kosong. Kita (Kerajaan Negeri) tidak takut, bahkan kita (Kerajaan Negeri) akan benarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk dan siasat.

“Selain itu, saya juga hendak bertanya di mana tabung khas untuk pembangunan Melayu dan Bumiputera yang pernah diumum sebelum ini oleh Kerajaan Pusat?” soalnya ketika merasmikan Majlis Khatan Perdana anjuran Masjid Negeri Pulau Pinang, Hospital Pulau Pinang (HPP) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cawangan Jalan Perak di sini baru-baru ini.

Majlis Khatan Perdana yang julung kali diadakan di Masjid Negeri membabitkan 24 kanak-kanak. Majlis dimulakan dengan penyampaian kain pelikat kepada semua peserta sebelum para peserta dimandikan pihak Bomba dan Penyelamat.

Hadir sama, Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Salahuddin Ghazali. Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut mengaitkan isu penjualan tanah orang Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau yang turut melibatkan kepimpinan tertinggi parti berkenaan sebagai orang tengah (broker).

“Selain itu, saya juga ingin mencabar UMNO negeri Pulau Pinang menyatakan pendirian mereka dengan lebih jelas tentang status Pengkalan Tentera Udara di-Raja Malaysia (TUDM) Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara (SPU).

“Adakah mereka berani menyatakan kepada Kerajaan Pusat supaya tidak menjual tanah ini?” tegas beliau.