Kenaan GST terhadap ‘projek rakyat’ tidak boleh diterima

BATU LANCANG – Penduduk Blok 56 Taman Sri Perak di sini kini boleh menarik nafas lega setelah Kerajaan Negeri meluluskan RM142,904.96 melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) bagi penukaran dua unit lif baharu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyifatkan bahawa penduduk blok di taman berkenaan bernasib baik apabila Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Law Heng Kiang sanggup menyumbangkan baki 20 peratus daripada jumlah keseluruhan projek, sekaligus mengurangkan beban penduduk berpendapatan rendah.

“Kerajaan Negeri sudah sumbang 80 peratus, namun penduduk di sini bernasib baik kerana Heng Kiang sanggup tampung baki 20 peratus iaitu RM35,726.24.

“Jadi satu sen pun tak perlu penduduk keluarkan, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan menjaga golongan berpendapatan rendah dan kita (Kerajaan Negeri) akan terus buat sedemikian,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Keseluruhan projek yang bernilai RM178,631.20 itu dijangka mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan dan (dijangka) selesai awal Julai 2018.

Jagdeep dalam pada itu turut melahirkan rasa kecewa apabila Kerajaan Pusat turut mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap ‘projek rakyat’ tersebut.

“Tolong orang susah pun dia (Kerajaan Pusat) kenakan GST… untuk dua lif ini kita (Kerajaan Negeri) bayar sejumlah RM10,717.

“Ini langsung tak boleh saya terima, jadi jika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, pertama sekali kita akan hapuskan GST terlebih dahulu,” tegasnya.

Menurut Jagdeep, sejak tahun 2010 hingga kini, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan kirakira RM51 juta bagi menyelenggara skim-skim perumahan awam dan swasta di seluruh Pulau Pinang.

Difahamkan, sejak tahun 2012, KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Batu Lancang telah menerima manfaat kira-kira RM2 juta dari TPM80PP.