Kerajaan Negeri galak wujudkan pusat asuhan berkualiti

GEORGE TOWN  Dalam usaha menggalakkan penyediaan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak berkualiti dan boleh dipercayai, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) baru-baru ini merasmikan pembukaan Taska D’ Komtar di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif tersebut merupakan yang pertama di Pulau Pinang dengan menawarkan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak khususnya kepada 2,024 kakitangan kerajaan bertugas di Komtar.

“Dewasa ini kita dapat lihat berjuta-juta ibu bapa yang berkerja di luar menghadapi tekanan untuk mencari pusat penjagaan kanak-kanak yang berpatutan harga, berkualiti dan boleh dipercayai.

“Kerajaan Negeri percaya dan yakin, Taska D’ Komtar ini merupakan suatu pencapaian penting dalam menggalakkan lebih banyak lagi (wujudnya) perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak yang terlatih, berkualiti dan menawarkan harga berpatutan di negeri ini,” ucapnya ketika hadir merasmikan pembukaan Taska D’ Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan. Dr. Afif Bahardin, Ahli Parlimen Batu Kawan, P.Kasthuriraani, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC, wakil-wakil sektor swasta dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Jelas Guan Eng, inisiatif menubuhkan Taska D’ Komtar tersebut adalah selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Penjagaan Kanak-kanak (2013-2015) yang dilancarkan pada 8 Mac 2013.

“Kewujudan taska di tempat kerja bukan sahaja mampu menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang berkerja, tetapi juga menjadi pemangkin kepada penglibatan golongan wanita dalam sektor pekerjaan di luar rumah.

“Malah, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang meluluskan dan menerima pakai dasar serta pelan tindakan komprehensif dalam menyediakan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak di tempat kerja,” ujar beliau.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM270,000 bagi kerja-kerja pengubahsuai termasuk penyediaan kemudahan bersesuaian dan selamat untuk kegunaan kanak-kanak serta menampung kos sewaan bulanan sebanyak RM2,000 setiap bulan.

Juga, memberi subsidi yuran bulanan, iaitu RM100 bagi ibu bapa yang berpendapatan lebih dari RM3,000 sebulan dan RM150 bagi mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 dengan jumlah asal ialah RM480 seorang kanak-kanak bagi kedua-dua kategori pendapatan.

Selain Taska D’ Komtar yang telah mula beroperasi sejak 2 Januari lalu, Kerajaan Negeri turut memulakan dua pusat penjagaan kanak-kanak pada tahun 2009 khas untuk ibu atau bapa tunggal dan mereka yang berpendapatan rendah di Padang Tembak, Air Itam dan Taman Serumpun, Bukit Mertajam.