Kerajaan Negeri mahu rakyat berjaya, maju bersama sebagai sebuah keluarga – Rashid

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan berkebajikan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Beliau menegaskan, adalah penting bagi usahawan dan peniaga kecil di Pulau Pinang untuk terus maju selari dengan pembangunan negeri ini.

“Salah satu tugas dan tanggungjawab saya sebagai Exco adalah memajukan usahawan dari sekecil-kecil peniaga (pasar malam) hingga ke peringkat IKS (Industri Kecil dan Sederhana), dan dari syarikat sederhana besar kepada peringkat antarabangsa.

“Kita mahu rangkumkan mereka (usahawan) supaya mendapat peluang untuk terus maju khususnya di Pulau Pinang.

“Kami mahu rakyat berjaya dan maju bersama sebagai sebuah keluarga,” ucapnya pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Permotoran di sini 18 Mac lalu.

Acara yang berlangsung selama dua hari menyaksikan penyertaan kira-kira 30 kelab permotoran yang terdiri daripada 1,200 kereta. Pelbagai aksi menarik dipertontonkan pada pameran kali ini seperti pertunjukkan ‘drift’, pameran helikopter serta pesawat.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu, dalam industri permotoran dan automotif, terdapat banyak peluang perniagaan kerana kenderaan merupakan salah satu cabang niaga sangat besar seperti mana arus di negara-negara Eropah.

“Tujuan Karnival Permotoran ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada usahawan-usahawan khususnya yang berminat dengan industri permotoran, supaya mereka dapat memanfaatkan peluang perniagaan masing-masing,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

Dalam pada itu, pengerusi penganjur, Mohd. Amin Abdullah menyatakan bahawa seramai 60 pemandu dan 24 kendara saji (food truck) turut mengambil bahagian dalam pameran tahun ini.

“Ini adalah peningkatan ketara berbanding pertunjukan pertama pada 2015 di Pasar Raya Queensbay yang hanya disertai 20 pemandu,” jelasnya.