Kerajaan Negeri PR adalah untuk semua – Exco

Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow tidak lokek untuk menderma sejumlah RM3,150 bagi menjayakan Program Khatan Beramai-ramai yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini barubaru ini.

Perkara tersebut dinyatakan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Pasar, Zainul Hafiz ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan program berkenaan.

“Kita amat berbesar hati dengan kehadiran YB Chow (Kon Yeow) hari ini, sungguhpun program ini diadakan dengan agak tergesa-gesa, namun beliau sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan untuk menjayakannya,” ujar beliau.

Majlis tersebut membabitkan 30 kanak-kanak yang menjalankan tuntutan agama Islam sebagai langkah ke alam awal remaja.

Menurut Kon Yeow, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang efisien, sudah pasti pihak berkaitan akan sedaya-upaya cuba membantu rakyat yang memerlukan.

“Malangnya, akan ada pihak tertentu cuba menidakkan usaha Kerajaan Negeri dengan menabur fitnah demi kelangsungan politik. Tindakan ini merupakan suatu perkara negatif kerana Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk semua,” ulas beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir.