Kerajaan Negeri salur dana RM1 juta bangunkan e-sukan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan dana sebanyak RM1 juta melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dalam usaha membangunkan e-sukan di negeri ini.

Mantan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berharap pembangunan sukan baharu tersebut dilihat perlu agar ia seiringan dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Malah, menurut beliau, Kerajaan Negeri senantiasa menitikberatkan perkembangan Revolusi Industri 4.0 sama ada melalui inisiatif STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) mahupun aktiviti kesukanan.

“Sebab itulah kita (Kerajaan Negeri) sanggup mengeluarkan dana sebanyak ini (RM1 juta) untuk pembangunan e-sukan, dan jumlah ini adalah sebahagian daripada RM76 juta dana yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Saya berharap, pembangunan e-sukan ini mampu memupuk dan menyemai minat generasi muda dalam perkembangan teknologi,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pertandingan E-Sukan yang julung kali dianjurkan oleh PYDC di sini baru-baru ini. Hadir sama Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani & Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang.