Kerja pembersihan diperluas ke kampung mulai November

SEBERANG JAYA – Langkah memperluaskan kerja-kerja pemotongan rumput jalan di kawasan kampung tradisional dan perkampungan baharu akan bermula November ini.

Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, langkah itu merupakan salah satu daripada 12 langkah utama pentadbirannya yang akan dilaksanakan dalam tempoh 200 hari, selepas dilantik sebagai Yang di- Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) 3 Julai lepas.

“Kita akan tetapkan KPI (penanda aras utama) secara outcome based, iaitu panjang rumput hanya 2 sentimeter hingga 5 sentimeter sahaja, berbeza dengan (amalan kerja) sebelum ini berdasarkan output based iaitu pusingan kerja-kerja pemotongan rumput 21 hari (sekali).

“Ini suatu cabaran yang besar, bermula pada bulan November ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP lain turut sertai sidang media tersebut.

Mengulas lanjut, Rozali menyatakan bahawa kerja-kerja pembersihan bakal dilaksanakan pentadbirannya adalah secara kontrak, yang mana semua jalan yang telah didaftarkan dalam sistem MARRIS atau Malaysia Road Record Information System.

“Kontrak pembersihan ini akan melibatkan kawasan di bawah pentadbiran Majlis (MPSP) dan kawasan-kawasan kampung yang berada di sepanjang 1,628 kilometer (meliputi) Jalan Negeri, Jalan Perbandaran dan Jalan Kampung,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus berusaha memastikan mutu kerjakerja pembersihan di Seberang Perai senantiasa ditingkatkan.

Justeru, tambah beliau, penduduk dinasihatkan supaya mengurangkan penjanaan sisa domestik, mengamalkan pengasingan sisa di punca dan kitar semula, demi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri, iaitu Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dah Selamat.