Kerja pemuliharaan Bukit Juru siap, dibuka untuk ‘Forest Bathing’

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Kerja-kerja memulihara Hutan Simpan Bukit Juru seluas 150 hektar di sini siap
sepenuhnya dan dibuka kepada pendaki untuk aktiviti ‘Forest Bathing’.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan atas kerjasama antara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan syarikat  IOI Oleochemichal Industries Berhad membaik pulih laluan hutan, termasuk 646 anak tangga serta kemudahankemudahan lain di sini.

“Walaupun Bukit (Juru) ini tidak setinggi dan secabar Bukit Cherok To’ Kun atau Bukit Bendera, tetapi ia masih merupakan destinasi baru bagi para pendaki.

“Selepas ini, Bukit Juru akan menjadi satu lagi destinasi untuk para pendaki, khususnya mereka yang mahu ‘Forest Bathing’ atau
mandi hutan,” jelasnya pada Majlis Perasmian Program ‘Forest Bathing’ Hutan Simpan Bukit Juru di sini 23 September lalu.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen; Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta wakil kepada Pengarah Eksekutif IOI Oleochemical Industries Berhad, Tan Kean Hua.

Difahamkan, kerja-kerja pemuliharaan bukit tersebut bermula pada 28 Ogos lalu dan siap, 18 September lepas.

Guan Eng memberitahu, projek pemuliharaan tersebut menelan belanja RM19,344.70, termasuk RM13,000 tajaan syarikat IOI Oleochemichal Industries Berhad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri yang melaksanakan kerja-kerja ‘tagging’ semua pokok
di sini, untuk keseronokan aktiviti ‘mandi hutan’.

Manakala, Rozali ketika berucap mencadangkan Kerajaan Negeri pada masa hadapan menyediakan pegawai petunjuk jalan ke hutan, untuk keseronokan pengunjung menikmati aktiviti mandi hutan di sini.

‘Forest Bathing’ adalah aktiviti fizikal dalam hutan seperti melihat, menghidu dan menyentuh flora serta berjalan-jalan sambil mendengar kicauan fauna.