Kerjasama kakitangan dan Pembantu Awam MPSP jayakan Pelan Strategik Seberang Perai

Admin

BERTAM – Dalam merangka Pelan Strategik Seberang Perai 2018-2022 yang dijangka siap Disember ini, penglibatan pembantu awam merupakan satu intipati penting kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, untuk menjayakan sasaran menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar rendah karbon pada tahun 2022, ia memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya 4,000 kakitangan dan pembantu awam.

“ 10 keutamaan yang diberikan penekanan dalam pelan (strategik) ini ialah persekitaran yang selamat; kemudahan dan infrastruktur berkualiti; gaya hidup sihat; pembangunan hijau dan bersih serta penerapan teknologi baharu.

“Diikuti, ekonomi yang berdaya saing; memperkukuh budaya dan warisan; bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni; penglibatan komuniti dan pembangunan bandar inklusif serta saksama,” ujarnya pada Sesi Penerangan Hala Tuju Pelan Strategik Seberang Perai 2018-2022 di Kompleks Sukan MPSP, Bertam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Skuad Khas MPSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin dan Ketua-ketua Jabatan MPSP.

Perhimpunan julung kali tersebut disertai kira-kira 1,088 pembantu awam bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, sasaran yang diletakkan MPSP pada tahun 2022 bukan sahaja untuk menjadikan bandar Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon, malah juga berhasrat meningkatkan kadar kitar semula sebanyak 70 peratus dan sampah dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“ Saya berharap semua kakitangan MPSP termasuk pembantu awam dapat menggembleng tenaga serta bersatu bagi menjayakan pelan strategik ini, dan saya percaya… kita mampu lakukannya,” seru beliau.