Kerjasama Kerajaan Negeri, NGO sedia penjagaan kesihatan optimum rakyat

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

BUKIT MERTAJAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk bersama-sama Kerajaan Negeri memperjuangkan penjagaan kesihatan rakyat di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, NGO bukan sahaja memperjuangkan suatu-suatu kepentingan awam, malah juga mampu berperanan dalam penjagaan kesihatan umum.

“Saya berharap lebih banyak NGO tampil bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang optimum kepada rakyat.

“Sekiranya lebih banyak NGO sudi bekerjasama, saya percaya Pulau Pinang mampu menjadi negeri yang lebih sihat,” ucapnya pada program pemeriksaan kesihatan dan derma darah anjuran One Hope Charity & Welfare Berhad (One Hope Charity) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon; Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau dan Datuk Seri R. Arunasalam, Penasihat One Hope Charity.

Pada majlis berkaitan, Guan Eng turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada One Hope Charity bagi membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kebajikan badan bukan kerajaan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyediakan pelbagai program kesihatan dan kebajikan untuk manfaat rakyat Pulau Pinang.

“Hal ini terbukti apabila Kerajaan Negeri melalui usahasama dengan pihak swasta dan NGO telah berjaya membangunkan pusat rawatan dialisis bersubsidi di Pulau Pinang.

“Kita (Pulau Pinang) ada tiga pusat dialisis iaitu Pusat Dialisis CAT Balik Pulau, Pusat Haemodialisis Masjid AtTaqwa di SPU (Seberang Perai Utara) dan MAA Medicare Dialysis Centre di SPT (Seberang Perai Tengah).

“Pesakit (yang layak) akan dibiayai (secara subsidi) oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM30 bagi setiap rawatan. “(Dan) inilah yang kita (Kerajaan Negeri) harapkan, lebih banyak usahasama dapat dijalinkan terutama dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” ujar Guan Eng.

Program pemeriksaan kesihatan dan derma darah merupakan program tahunan One Hope Charity.

Tahun lalu, NGO tersebut membelanjakan sehingga RM2.08 juta bagi keperluan kos perubatan, kos pengebumian, makanan percuma serta bantuan bulanan makanan.

Sejak 15 tahun penubuhan One Hope Charity, sejumlah RM7 juta telah dibelanjakan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada lebih 10,000 individu kurang berkemampuan