Kerjasama PBC OCBC sumbang ekonomi negeri

Oleh : A INUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – OCBC Bank (M) Berhad (OCBC) mensasarkan pertumbuhan positif dalam sektor perkhidmatan melalui pusat perbankan premier (Premier Banking Centre – PBC) terbesarnya di Lebuh Pantai di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Eng Bin berkata, pihaknya mensasarkan untuk memenuhi sektor perkhidmatan bagi beberapa tahun akan datang susulan pertumbuhan pesat sektor tersebut di Pulau Pinang.

“Kami menyedari potensi sektor-sektor lain yang semakin berkembang seperti pembuatan makanan dan minuman, perkongsian perkhidmatan
penyumberan luar (shared services outsourcing – SSO) dan pemprosesan pusat perniagaan penyumberan luar (business processing outsourcing – BPO), tetapi hasrat kami (OCBC) adalah untuk menggandakan pertumbuhan dalam perkhidmatan khususnya industri perbankan premier.

“Pihak kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor ini dan menjadi sebahagian daripada penyumbang pertumbuhan ekonomi negeri di samping mengukuhkan rangkaian OCBC serantau,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian PBC OCBC di sini baru-baru ini.

Majlis peramian tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Turut hadir, Pengerusi Bank OCBC, Datuk Ooi Sang Kuang, Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna dan Kumpulan Pengurusan Kekayaan, Lim Wyson.

Dalam ucapannya, Guan Eng memberitahu bahawa pusat perbankan premier OCBC di Pulau Pinang kini mencapai 40 peratus pertumbuhan aset di bawah pengurusan bagi tempoh 12 bulan hingga Jun 2014.

“Malah, saya difahamkan perniagaan pelaburan dan asas pelanggan perbankan premier kumpulan turut berkembang lebih 20 peratus bagi tempoh yang sama.

“Ini menandakan keyakinan yang semakin meningkat dalam tawaran perbankan premier,” ucap beliau.

Jelas Guan Eng, prospek pertumbuhan ekonomi negeri dilihat lebih cerah dengan tumpuan Pulau Pinang kini ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Bank OCBC adalah antara bank asing terbesar beroperasi di Malaysia sejak tahun 1917 (dikenali sebagai Bank Ho Hong) dengan 31 rangkaian perbankan konvensional dan 10 cawangan perbankan Islam di seluruh negara.

Cawangan Bank OCBC di Lebuh Pantai adalah yang terbesar di Pulau Pinang dengan keluasan 8,000 kaki persegi.