Kesaksamaan gender perlu usaha semua pihak – Exco

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGETOWN – Semua pihak diseru agar bertindak lebih proaktif dalam usaha merapatkan jurang antara dua gender di negara ini, kata Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng bersempena Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang 8 Mac lalu.

Katanya, berdasarkan Forum Ekonomi Sedunia, Malaysia masih ketinggalan dalam usaha mengurangkan jurang gender antara lelaki dan perempuan iaitu kini berada pada kedudukan 104 daripada 144 negara.

“Mengikut laporan ini juga, jurang antara kaum wanita dan lelaki hanya dapat dirapatkan pada tahun 2186 iaitu 168 tahun dari sekarang.

“Fakta ini adalah amat mengecewakan dan tindakan afirmatif harus diambil oleh pihak kerajaan pada semua peringkat, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Sekiranya tidak, kita (negara) juga perlu menunggu sehingga 100 tahun untuk mencapai matlamat berkaitan,” katanya pada majlis sambutan yang dirasmikan oleh Toh Puan Dato’ Seri Utama Majimor Shariff di sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Mufti Pulau Pinang, Dato Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir.

Walau bagaimanapun, menurut Chong Eng, sesuatu yang harus dibanggakan adalah apabila Pulau Pinang mencatat kadar peratusan penglibatan tenaga kerja wanita lebih tinggi iaitu 57.9 peratus berbanding kadar peratusan negara (54.3 peratus).

“Namun, peratusan ini masih terlalu rendah berbanding dengan kadar penglibatan tenaga kerja lelaki yang berada pada tahap 80.2 peratus, iaitu perbezaan sebanyak 25.9 peratus,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Chong Eng menyatakan bahawa jurang antara gender juga adalah ketara jika dilihat kepada penyertaan wanita dalam politik di negara ini, yang mana hanya 24 daripada 222 ahli Dewan Rakyat adalah kaum Hawa.

“Penyertaan wanita dalam politik perlu ditingkatkan agar lebih banyak undangundang yang responsif gender seperti jenayah seks, had umur berkahwin, keganasan domestik dan hak pekerja dapat digubal.

“Peningkataan wanita dalam politik juga penting dalam usaha mewujudkan dasardasar progresif bagi membantu golongan berkaitan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menceburi bidang keusahawanan,” jelasnya.

Sambutan Hari Wanita yang memasuki tahun keenam pada tahun ini mengangkat tema ‘Wanita Pemacu Kemajuan’ dengan memfokuskan isu kesaksamaan gender dan keadilan sosial.


Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives