Keselamatan tunggang & bonceng motosikal perlu dipupuk sejak usia muda – ADUN

Admin

TANJUNG BUNGA – Lapan sekolah rendah dan menengah di sini terpilih untuk menyertai Kempen Jom Pakai Helmet anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sri Tanjung Pinang baru-baru ini.

ADUNnya, Teh Yee Cheu berkata, kesedaran mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya terutama semasa menunggang dan membonceng motosikal perlu dipupuk sejak usia muda.

“Penunggang dan pembonceng motosikal perlu mengambil berat aspek keselamatan dengan mengutamakan pemakaian helmet atau topi keledar yang selamat serta diperakukan oleh SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia),” ujarnya ketika berucap pada perasmian kempen tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Pulau Pinang, Abdullah Ahmad.

Mengulas lanjut, Yee Cheu memberitahu bahawa statistik dikeluarkan Cawangan Perangkaan Trafik Bukit Aman bagi tempoh 2005 hingga 2015 menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 43,557 atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan 66,286 yang terkorban akibat kemalangan jalan raya.

Sejumlah 250 buah topi keledar diedarkan pada kempen berkaitan.