Kesenian, adat budaya masyarakat berbilang bangsa perlu terus kekal terpelihara

GEORGE TOWN – Masyarakat Pulau Pinang yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama diseru supaya memelihara kesenian, adat dan budaya masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri.

Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, ia penting bagi memastikan warisan seni budaya setiap kaum yang mencakupi amalan serta cara hidup agar terpelihara.

“Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya dan harus dikekalkan kerana ia mempunyai identiti tersendiri.

“Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negeri ini termasuk pakaian, makanan, adat resam, seni dan sebagainya.

“Warisan tradisional ini perlu diwarisi kepada generasi muda agar ianya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas… dengan cara tersebut sahaja seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana tak kenal maka tak cinta.

“Pulau Pinang akan terus menjadi sebuah negeri yang aman damai walaupun masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, inilah identiti yang perlu dipelihara dan dikekalkan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya ketika membacakan teks ucapan Datuk Bandar baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Sijil dan Persembahan Kelas Tarian Tradisional Kanak-kanak Dan Kelas Seni Drama & Teater Tahun 2017 Siri II bertempat di Pusat Belia, Lebuh Acheh di sini.

Sebanyak 120 pelajar menyertai Kelas Tarian Tradisional Kanak-kanak Siri Pertama dan 48 pelajar telah disenarai pendek berdasarkan pencapaian seni tari masingmasing.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Grace Teoh Koon Gee. Menurut Rashidah, bagi memupuk kesedaran orang ramai, MBPP mengambil inisiatif mempersembahkan sebuah tarian tradisional berkisahkan pencemaran alam.

“Konsep pencemaran alam diaplikasikan dalam persembahan tarian bagi mewujudkan kesedaran, minat dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan keindahan, kehijauan dan pemeliharaan alam sekitar,” jelasnya.