Keysight rancang kukuhkan pelaburan RM500 juta

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Syarikat elektronik terkemuka, Keysight Technologies Malaysia S d n . B h d . ( K e y s i g h t ) merancang mengembangkan operasi pelaburannya bernilai RM500 juta di negeri ini.

Perkara tersebut diumumkan Presiden Keysight bagi Malaysia dan Singapura, Datuk Gooi Soon Chai pada Majlis Pelancaran Rasmi Operasi Keysight di sini baru-baru ini.

Soon Chai memberitahu, dengan tambahan pelaburan tersebut, 500 peluang pekerjaan akan diwujudkan daripada jumlah pekerja sedia ada iaitu kini yang berjumlah 2,600 orang.

“Ini termasuk di dalam bidang kejuruteraan, sektor aeroangkasa, komunikasi pertahanan, industri semikonduktor dan automatif,’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Operasi Keysight di sini baru-baru ini.

Hadir menyepurnakan majlis berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Pengurus Besar Keysight Technologies (Malaysia), Shidah Ahmad.

Tambah Soon Chai, Keysight kini mempunyai tanggungjawab global yang luas.

“Kecekapan teras syarikat ini merangkumi rantaian nilai dari penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengurusan perniagaan dan rantaian bekalan bagi seluruh dunia untuk jualan, pemasaran serta sokongan.

“Tumpuan ini membolehkan penemuan inovasi yang sentiasa berubah diperuntukan apabila pelanggan sentiasa inginkan penyelesaian terutamanya dalam bidang komunikasi 5G, peranti internet baru dan teknologi sensor.

“Maka, syarikat memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang kejuruteraan dan perisian,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, Pulau Pinang terus menjadi daya tarikan buat syarikat-syarikat besar menjalankan operasi perniagaan bersepadu di sini.

“Nama-nama besar ini boleh memilih mana-mana lokasi sahaja di rantau ini untuk menubuhkan operasi mereka, tetapi hakikatnya mereka lebih memilih Pulau Pinang untuk operasi bersepadu masing-masing.

“Ini adalah bukti tarikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab pelaburan,” ujar beliau.