Khambeswaran mampu jadi atlet memanah bertaraf dunia – MP

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

PULAU TIKUS – Atlet memanah negeri, M. Khambeswaran dilihat mampu menjadi ahli sukan bertaraf dunia ekoran kejayaan memecah rekod kebangsaan dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak baru-baru ini.

Ahli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, beliau percaya atlet muda berusia 17 tahun itu mampu pergi lebih jauh sekiranya menerima sokongan dan kemudahan latihan yang sempurna.

“Saya yakin Khambeswaran berpotensi menyumbang pingat buat negara pada temasya berprestij dunia.

“Ia tidak mustahil, dalam usia yang masih muda, beliau (Khambeswaran) kini berada di landasan yang betul untuk menjadi atlet bertaraf dunia dan mungkin akan menyertai skuad Olimpik pada masa hadapan,” ujarnya selepas majlis penyampaian sumbangan saguhati kepada Khambeswaran di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit.

Khambeswaran yang berasal dari Bukit Erskine, Kebun Bunga menerima sumbangan wang tunai bernilai RM1,000.

Dalam penyertaan sulung di kejohanan SUKMA XVIII Sarawak Julai lalu, beliau berjaya meleburkan rekod kebangsaan milik Lang Hong Keong dalam Kejohanan Grand Prix Asia 2008 dengan 360 mata bidikan yang dicatat pada tahun 2008, 359 mata bidikan, acara 30 meter compound lelaki.

Dalam pada itu , Khambeswaran ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih di atas penghargaan dan sumbangan yang diberikan.

“Saya berharap ini akan membantu saya untuk berusaha lebih gigih dalam bidang sukan dan berjaya pada pemilihan ke Sukan Asia Tenggara (SEA Games) tahun hadapan ” ujarnya yang kini melanjutkan pengajian di Sekolah Sukan Malaysia Pahang.