Khemah baharu gembirakan 30 peniaga kecil Jalan Mahsuri

Admin

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Seramai 30 peniaga dan usahawan kecil yang berniaga dekat pasar malam Jalan Mahsuri di sini, menerima khemah baharu berkeluasan 100 kaki persegi.

Khemah-khemah tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

“Ini merupakan salah satu daripada dividen melawan rasuah oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan… hasilnya, setiap tahun kita punyai lebihan belanjawan, dan kita pulangkan kepada rakyat seperti yang kita bantu pada hari ini.

“Seperti mana kita tahu khemah ini adalah antara ‘nadi’ utama peniaga di pasar malam ini. Apa yang saya dapat tahu juga, ini merupakan pemberian utama dan kerajaan dahulu pun tidak pernah beri khemah percuma macam ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Khemah Usahawan Kecil Pulau Pinang baru-baru ini.

Mohd. Rashid memberitahu, pasar-pasar malam di kawasan lain turut akan menerima bantuan sama selepas ini sejurus ada permintaan yang menggalakkan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Mahsuri, Latifah Husainsa.

Bagi SALMIAH MD. NOH, 49, seorang peniaga nasi campur, beliau bersyukur dengan bantuan yang diterimanya.

“Senang banyaklah apabila dapat pemberian percuma macam ini jika hendak beli pun dah tentu mahal dan yang paling saya puji ialah prosesnya sungguh mudah,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara.

Seorang lagi peniaga, KAM AH HOCK, 63, yang sudah berniaga di Bayan Baru selama 35 tahun.

“Dari dahulu saya berniaga di sini tidak pernah kerajaan lama tolong, tetapi kita punya ADUN jaga kita bagus, selalu melawat, hari ini bagi khemah percuma lagi,” jelasnya yang menjalankan perniagaan buah-buahan.