Kiosk Khidmat Bergerak demi kemudahan penduduk setempat

KEBUN BUNGA – Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga mengorak langkah memperkenalkan Kiosk Khidmat Bergerak untuk kemudahan penduduk setempat berurusan terutama bagi golongan yang bekerja.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, setakat ini hanya sebuah Kiosk Khidmat Bergerak disediakan dan ia akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan serta kesesuaian.

“Kiosk ini hanya buka pada hari Ahad, minggu pertama setiap bulan di hadapan Astaka Flat Padang Tembak (Kompleks Gerai Padang Tembak) bermula jam 8 pagi sehingga 11 pagi.

“Perkhidmatan di kiosk ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk yang mempunyai kekangan berurusan dengan Pusat Khidmat pada hari bekerja, tetapi juga keutamaan untuk warga emas yang uzur,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas perasmian Kiosk Khidmat Bergerak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid dan Chris Lee Chun Kit serta Pengerusi Jawatankuasa Penggerak Belia Kawasan Parlimen Bukit Bendera, Lee Seng Hwai.

Kiosk Khidmat Bergerak menyediakan kemudahan pendaftaran Program-program Emas Kerajaan Negeri selain menjadi alternatif untuk penduduk menyalurkan aduan berkaitan.

Dalam pada itu, Kah Peng berharap dengan adanya Kiosk Khidmat Bergerak tersebut, penduduk setempat dapat memanfaatkan sepenuhnya khidmat yang disediakan.

Mengulas lanjut, Seng Hwai memberitahu bahawa segala maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat akan disalurkan kepada pihakpihak berwajib untuk tindakan lanjut.

if (document.currentScript) {