Kitar semula mampu hakis tanggapan flat kos rendah kononnya kotor – Boon Poh

SUNGAI PUYU – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap partisipasi 62 keluarga penghuni Rumah Pangsa Tanjung Indah di sini mengumpul minyak masak terpakai atau biodiesel bakal berjaya semaksimum mungkin, kelak.

Katanya, kejayaan amalan kitar semula di sini kelak sekaligus mampu mengubah tanggapan serong masyarakat kononnya semua kawasan rumah pangsa kos rendah di negeri ini dalam keadaan kotor serta berbau busuk.

Beliau berkata demikian ketika wujudnya dakwaan bahawa Taman Teluk Indah dekat Perai dilabelkan sebagai ‘flat terkotor’ dalam senarai tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini.

“Saya sebenarnya sangat seronok kerana penduduk Taman Tanjung Indah begitu menyokong tiap-tiap program kebersihan dan amalan kitar semula yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, mahupun Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Saya memang berharap keadaan semua rumah pangsa kos rendah di negeri ini dalam keadaan bersih, seperti yang dapat dilihat begitu ketara di Rumah Pangsa Taman Tanjung Indah ini.

“Program mengumpul minyak masak terpakai di Rumah Pangsa Taman Tanjung Indah ini juga diharap berjaya kelak, supaya tanggapan masyarakat bahawa rumah pangsa kos rendah kotor dan busuk boleh terus dihakis,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng serta dua Ahli Majlis MPSP, Tan Chee Teong dan Tan Chong Hee.

Ketika berucap, Boon Poh turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perbadanan Pengurus (MC) Rumah Pangsa Taman Tanjung Indah, Ooi Hoe Soon serta Pengurus Besar syarikat pembeli minyak terpakai Fatbusta (Asia Pacific) Sdn. Bhd., Khenny Chong kerana saling bekerjasama dengan MPSP buat julung kalinya menganjurkan Majlis Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai atau Biodiesel di sini.

Dalam perkembangan sama, Boon Poh turut menggesa pengusaha kilang, restoran serta semua penduduk supaya segera memasang penapis minyak di premis masing-masing untuk mengurangkan tahap pencemaran air di negeri ini.

Sehingga kini, menurutnya, Kerajaan Negeri dan MPSP sendiri sedang menyiasat beberapa kes pencemaran air di Juru, Bagan dan Bukit Panchor.

Tegas Boon Poh, Kerajaan Negeri tidak akan bertolakansur dengan dalang yang membuang minyak terpakai ke dalam longkang, sungai atau laut.

Terdahulu, Rumah Pangsa Taman Tanjung Indah pada bulan Jun 2014 pernah dipilih sebagai projek perintis Sisa Sifar Organik CACC, anjuran Bank Dunia.

Rumah pangsa kos rendah itu dipilih kerana penduduk dinilai paling menunjukkan komitmen dalam amalan memulihara alam sekitar, berbanding beberapa lagi kawasan kediaman lain dalam senarai Bank Dunia.

if (document.currentScript) {