KLN pilih P. Pinang kembang urusniaga rantau Asia Tenggara

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PANTAI JEREJAK – Syarikat logistik berpengkalan di Hong Kong, Kerry Logistics Network Limited (KLN) memilih Pulau Pinang sebagai destinasi untuk pihaknya memperkembangkan urusniaga di rantau Asia Tenggara.

Pengerusinya, George Yeo berkata, faktor pemilihan tersebut adalah setelah mengambil kira kesesuaian Pulau Pinang pada aspek tenaga kerja, kemahiran, lokasi yang strategik dan ideal untuk didiami.

“Kita lihat pembangunan ekonomi di Asia Tenggara sedang rancak membangun, tidak ketinggalan Pulau Pinang yang menunjukkan prestasi cemerlang yang secara tidak langsung memberi peluang kepada KLN untuk membuka Pusat Pembangunan Teknologi Maklumat di negeri ini.

“Kami turut menyasarkan perkembangan urusniaga pada masa hadapan selain menambah bilangan pekerja di sini dari 10 kakitangan kini kepada 30 (orang) kelak,” ucapnya pada Majlis Perasmian KLN di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) Malaysia, Datuk Ng Wan Peng dan Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian.

Dalam pada itu, Guan Eng percaya bahawa pengoperasian KLN di Pulau Pinang mampu memacu negeri ini ke gelombang pembangunan internet dan rantaian logistik di Asia Tenggara dengan menggabungkan teknologi maklumat serta teknologi data bersama-sama kekuatan ekonomi sebagai pengetahuan dalam bidang berkaitan.

“Malah, saya juga percaya bahawa dengan penambahan pengoperasian Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di negeri ini, ia mampu menzahirkan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berpendapatan tinggi,’’ ujar beliau.

if (document.currentScript) {