KM bangga kilang Boston Scientific pertama Asia Tenggara di P. Pinang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : LAW SUUN TING

BUKIT TAMBUNBoston Scientific dari Amerika Syarikat akan membuka firma peranti perubatan di Taman Perindustrian Batu Kawan, sungguhpun ‘iklim’ pelaburan dan ekonomi negara kian mencabar belakangan ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bangga kerana kilang yang bakal dibina tersebut merupakan pertama di Asia Tenggara, demi memenuhi permintaan pasaran global di rantau ini.

“Sejak ditubuhkan pada 1979, pertumbuhan Boston Scientific begitu agresif dalam beberapa tahun dengan 13 kilang di serata dunia, iaitu enam di Amerika Syarikat sendiri, manakala tujuh lain di luar Amerika Syarikat, termasuk dua kilang di Costa Rica dan sebuah kilang di Puerto Rico.

“Saya begitu bangga apabila Pulau Pinang dipilih oleh Boston Scientific sebagai pangkalan (kilang) pertama di Asia (Tenggara).

“Pengembangan (pelaburan) terbaru ke rantau Asia (Tenggara) ini akan menghasilkan alat perubatan canggih demi memenuhi permintaan global, bagi segmen pembedahan kardiovaskular dan perubatan mereka (Boston Scientific),” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kilang Boston Scientific di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Pada majlis sama, ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed disampaikan oleh timbalannya, Datuk Lee Chee Leong. Turut berucap, Naib Presiden Eksekutif (Operasi) Boston Scientific, Edward Mackey dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y. Yun.

Tambah Guan Eng, pelaburan terbaru syarikat multinational berkenaan akan mencipta kira-kira 400 lagi peluang pekerjaan mahir di negeri ini kelak.

“Lebih 40 tahun pengalaman perindustrian di Pulau Pinang adalah lokasi yang tepat untuk Boston Scientific memperluaskan aktivitinya di peringkat global (kerana) Pulau Pinang merupakan satu pertiga daripada hab syarikat peranti perubatan utama di Malaysia.

“Ini, tidak termasuk lebih 3,000 rantaian pembekal tempatan pelbagai yang cekap, sudah tentu mendorong lebih banyak industri sokongan yang mantap serta jarian pembekal (ke Pulau Pinang),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan. Difahamkan, eksport peranti perubatan negara pada tahun 2015 meningkat 15 peratus menjadi RM15.5 bilion, berbanding tahun sebelumnya serta dijangka terus meningkat sejumlah RM26 bilion menjelang tahun 2020.

Pelaburan ke Pulau Pinang mulai tahun 2008 hingga 2015 direkodkan kira-kira RM55 bilion, iaitu meningkat 90 peratus berbanding lapan tahun sebelumnya (2000 hingga 2007) yang berjumlah RM29 bilion sahaja.