KM, Hilmi bincang RUU benarkan JKN masuk premis terbiar basmi denggi

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & NORSHAHIDA YUSOFF

DATUK KERAMAT – Hasil pertemuan bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa beliau ada berbincang berkenaan Rang Undang-undang (RUU) untuk memberi kuasa kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memasuki premis terbiar yang disyaki menjadi punca kepada wabak denggi.

“Saya juga ada minta Hilmi, kalau boleh luaskan sekali RUU tersebut kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana undang-undang kini perlu ada kebenaran pihak polis dan sebagainya.

“Proses semasa mungkin mengambil masa lama, takut nanti apabila terlewat, nyamuk tersebut sudah dewasa, membiak lagi dan menggigit lebih ramai orang,” ujarnya ketika melawat serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga Norseha Salleh, 38, balu kepada Allahyarham Che Abdul Khalil Osman, 57, yang meninggal dunia pada 1 Syawal lalu dekat Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa yang menetap di Kampung Dodol di sini dipercayai dijangkiti wabak denggi ketika pulang ke kampung halaman beliau beberapa hari sebelum meninggal dunia.

Sehari sebelum itu, Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menziarahi keluarga seorang pelajar, Allahyarham Mohd. Azrul Mohd. Fikri, 17, di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas yang meninggal dunia akibat wabak denggi baru-baru ini. Ziarah tersebut disambut oleh ibu bapa Allahyarham, Mohd. Fikri Hussein, 47, dan Mazsura Ahmad, 43.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut mengingatkan orang ramai agar seboleh-bolehnya mengelakkan takungan air bersih.

“Kita lihat kawasan ini bersih, di Sungai Ara (merujuk kepada kes Allahyarham Mohd. Fikri) pun bersih, namun aedes masih mampu membiak dan ini disebabkan air bersih bertakung… inilah yang kita rasa aedes ‘istimewa’ tidak suka air kotor,” katanya yang juga ADUN Air Putih.

Tambah Guan Eng, semua pihak diminta supaya lebih berwaspada, termasuk meningkatkan tahap kebersihan di persekitaran tempat tinggal dan kawasan kejiranan.

“Semua keluarga haruslah pastikan kawasan rumah bebas daripada takungan air, dan sekiranya kawasan kejiranan terbiar kosong serta tidak berpenghuni, segeralah maklumkan kepada JKN Pulau Pinang agar tindakan pembersihan dapat dijalankan dengan segera kerana dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk,” seru beliau.

Dalam pada itu, Afif memberitahu, kes kematian akibat denggi di Kampung Dodol merupakan kes kesembilan bagi tahun 2017 di negeri ini, berbanding 10 kes pada tahun lalu untuk tempoh masa sama.