KM persoal wibawa MIDA rekod FDI negeri

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia(MIDA) sepatutnya merekodkan  kesemua pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang bagi tahun ini, bukan sektor pengilangan sahaja yang berjumlah RM2.34 bilion.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, beliau sebelum ini turut mengumumkan pelaburan RM1.05 bilion daripada Seagate ke negeri ini, tetapi angka itu turut tidak direkod oleh agensi persekutuan berkenaan.

“Sebagai contoh, saya sendiri telahpun umum pelaburan Seagate dua hari lepas, tetapi, pelaburan ini tidak juga direkodkan (pelaburan dalam) sektor pengilangan.

“Tiada lagi beribu-ribu peluang pekerjaan apabila Seagate meninggalkan Pulau Pinang pada tahun 2002, tetapi, kembali melabur di negeri ini selepas 12 tahun,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang) turut menyertai sidang media tersebut.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada tahun ini turut mengumumkan pelaksanaan Hub Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) dekat Bayan Lepas dan Penang International Technology Park (PITP) dekat Batu Kawan yang kedua-duanya bernilai pelaburan RM11.3 bilion, tetapi, angka itu langsung tidak direkodkan secara rasmi oleh MIDA.

Itu, tambahnya, tidak termasuk pembinaan enam hotel baru di negeri ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM693 juta.

“Tiga hingga empat projek baru di negeri ini akan diumumkan dalam tahun ini, (tetapi) tidak juga direkodkan dalam angka pelaburan (rasmi) MIDA… saya pun tak tahu bagaimana MIDA kira (rekod),” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Menurutnya, sekiranya sektor gas dan minyak boleh direkodkan sebagai FDI Sarawak, sepatutnya MIDA tidak merekodkan sektor pengilangan sahaja sebagai pelaburan di Pulau Pinang.

Tambahnya, pendekatan perkongsian perkhidmatan penyumberan luar (SSO) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam tempoh dua tahun ini berjaya meningkatkan peluang pekerjaan mahir serta pendapatan berprestasi tinggi melalui pelaburan industri Wilma, CitiGroup, Air Asia, IHS, First Solar Globals Service serta TOLL ke negeri ini.

Sehingga Mei tahun ini, MIDA merekodkan FDI Pulau Pinang berjumlah RM2.34 bilion, iaitu peningkatan berbanding RM1.8 bilion yang diperoleh pada tahun lepas.