KM pertikai lagi wibawa MIDA rekod FDI negeri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mempertikai lagi kewibawaan Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) yang didakwa merekodkan angka pelaburan Pulau Pinang secara tidak tepat membabitkan pelaburan asing langsung (FDI) untuk semua sektor, tanpa terlebih dahulu merujuk pada info sahih daripada Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada dalih lanjut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong di portal berita The Malaysian Insider baru-baru ini.

Ah Tong antara lain dilaporkan menyebut, lembaga Kerajaan Pusat itu dalam tempoh Januari hingga Julai lepas direkodkan meluluskan sebanyak 95 projek pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM4.6 bilion di negeri ini.

“Tanah untuk pemajuan industri hanya boleh disediakan oleh Kerajaan Negeri, tanpa tanah, bagaimana pelabur boleh melabur di Pulau Pinang.”

 “Maka, tanah adalah disediakan oleh Kerajaan Negeri sahaja dan Kerajaan Pusat langsung tiada tanah (untuk tujuan) perindustrian di Pulau Pinang.”

“Sepatutnya MIDA rujuk kita terlebih dahulu…tanpa merujuk pada kita, bagaimana dia boleh tahu angka pelaburan sebenar (di Pulau Pinang untuk semua sektor),” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Guan Eng mempertikai wibawa MIDA kerana lembaga Kerajaan Pusat berkenaan hanya merekodkan pelaburan asing langsung (FDI) ke Pulau Pinang untuk sektor E&E sahaja yang berjumlah berjumlah RM2.34 bilion dan bukannya semua sektor.

MIDA turut dipertikai kerana agensi Kerajaan Pusat tersebut dalam tempoh Januari hingga September tahun ini direkodkan merujuk dua pelabur asing baharu sahaja kepada investPenang (iP) di bawah Kerajaan Negeri.

Sedangkan, kata Guan Eng, iP dalam tempoh sama direkodkan merujuk 13 pelabur asing baharu ke Pulau Pinang dengan agensi pusat berkenaan. Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan bahawa, seberapa banyak pun FDI ke negeri ini, akhirnya turut memberi manfaat kepada FDI negara.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng merasmikan Pameran Solo Datuk Abdul Rahman Rahim, bertemakan ‘Journey of a Travel Painter: Landscape Inspiration’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Guan Eng dalam ucapannya memuji inisiatif Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang kerana membawa sedikit kelainan di institusi yang lazim menjadi tempat mengubal undang-undang negeri tersebut.

Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut menyertai majlis perasmian pameran selama sembilan hari bermula pada 18 hingga 26 Oktober lalu tersebut.

Abdul Rahman merupakan anak jati Pulau Pinang yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam serta pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang kesenian di Universiti Malaya, seterusnya ke Canberra School of Art, Australia.

Dengan kerjayanya sebagai seorang diplomat, Abdul Rahman berpeluang merantau ke pelbagai negara selama 30 tahun untuk mengembangkan ilham serta menghasilkan karya bertemakan lanskap.

Pada tahun 1997, lukisan berjudul ‘Datai-Langkawi’ merupakan antara karya terbaik Abdul Rahman hingga memenangi anugerah dalam pertandingan kesenian peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan,

Kesenian dan Pelancongan dengan kerjasama Galeri Seni Lukis Negara.