KM puji komitmen artis, jadi duta kempen Hentikan Keganasan Siber

PULAU TIKUS – Kesanggupan artis muda yang merupakan anak jati Pulau Pinang, Lee Pei Ling menjadi duta kempen Penang Goes Orange 2016: Hentikan Keganasan Siber anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), sungguhpun dihambat pelbagai komitmen lain dipuji Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Guan Eng menzahirkan penghargaan ketika merasmikan kempen tersebut serentak dengan keraian Hari Jingga Antarabangsa yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Berdasarkan Telenor’s Safe Internet Survey, 37 peratus murid-murid sekolah di Malaysia pernah terbabit dalam buli siber atas talian, atau pernah dijadikan mangsa buli siber.

“Usaha terbaik bagi PWDC, para penaja, rakan kongsi serta duta bagi kempen ini.

“Kempen ini akan menyemarak lagi mesej sebenar, menyentuh isu semasa dan pada masa sama mewujudkan saling interaksi dan hubungan jawatankuasa (kempen ini) dengan komuniti,” ujarnya pada majlis perasmian kempen di Kolej KDU Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Manakala, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng memberitahu, PWDC serta ‘sukarelawan jingga’ dalam tempoh 16 hari kempen mensasarkan penyebaran 10,000 risalah ke seluruh negeri ini.

Penang Goes Orange kini telah memasuki tahun ketiga dianjurkan di negeri ini, dengan tema khusus iaitu ‘Hentikan Keganasan Siber’.

“Kerajaan Negeri berharap dengan inisiatif menyebar 10,000 risalah ini, bukan sahaja akan menyemarak kesedaran komuniti di Pulau Pinang, malah akan diraikan dengan lebih serius pada peringkat kebangsaan di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Ong Bee Leng (Ketua Pegawai Eksekutif PWDC), Dato’ Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Syerleena Abdul Rashid (Ahli Majlis MBPP), Ong Jing Cheng (Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) merupakan antara pemimpin negeri yang hadir menyokong kempen nilai tersebut.