KM rayu Kerajaan Pusat jangan halalkan ‘along’ perumahan

PENAGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merayu supaya Kerajaan Pusat tidak mengeluarkan lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan di tanah air ini.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan 300 bungkus beras dan daging mentah kepada umat Islam terpilih, sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Saya pun tak faham bagaimana Kerajaan Persekutuan boleh harapkan ‘along’.

“Jangan benarkan pemaju beri pinjaman di bawah Akta (Pemberi) Pinjam Wang, yang riba boleh dikira sampai 18 peratus.

“Janganlah nak kenakan kadar riba sampai 18 peratus, ini cukup teruk ke atas rakyat,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan di Kampung Permatang Bongor dekat Penaga di sini.

Turut serta, Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail.

Berdasarkan Akta Pemberi Pinjam Wang, 1951, kadar faedah yang boleh dikenakan adalah 12 peratus setahun bagi pinjaman berjamin dan 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa jaminan.

Maka Guan Eng menyatakan, syor Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar baru-baru ini untuk mengeluarkan lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan akan membolehkan mereka mengenakan kadar faedah semaksimum mungkin ke atas pembeli rumah mampu milik (RMM), berbanding 6 peratus faedah yang dikenakan oleh bank-bank kini.

Justeru, Guan Eng sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya kembali melonggarkan syarat permohonan pinjaman perumahan demi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah idaman pertama mereka masing-masing.