KN fahami keperitan rakyat, perkenal program kebajikan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SHUM JIAN WEI

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menggesa rakyat Pulau Pinang supaya keluar daripada ‘kegelapan’.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjurannya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, kegelapan yang dimaksudkan adalah ketika ekonomi Malaysia saban hari yang ditekan dengan kenaikan kos sara hidup tinggi termasuk kenaikan harga barangan keperluan serta petrol.

“Sempena Pesta Cahaya (Deepavali) ini, marilah kita sama-sama keluar daripada ‘kegelapan’ dan berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri agar semua dapat menemui cahaya dan sinar,” ucapnya pada majlis tersebut.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran 500 hadirin yang terdiri daripada pelbagai bangsa serta keturunan. Selain makanan tradisi masyarakat berketurunan India, turut disajikan adalah sate, char kuey teow dan nasi kandar.

Turut diraikan adalah 150 individu terpilih yang menerima sumbangan keperluan khas seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain.

Hadir sama ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan.

Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu bahawa Kerajaan Negeri lazimnya memahami keperitan dialami rakyat.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperkenalkan pelbagai insentif kebajikan secara berperingkat dari bayi yang baru lahir kepada warga emas tanpa mengira umur dan latar belakang,” ujar beliau.